Sunday, October 01, 2006

Bersikap ihsan dalam berniaga

Oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

BULAN Ramadan yang penuh barakah bukan sahaja membuka ruang untuk menggandakan ibadah malah turut menyajikan pelbagai peluang perniagaan dengan keuntungan melimpah-ruah.

Sebab itulah pada setiap kali Ramadan, kita dapati begitu banyak sekali bazar Ramadan bertaburan menjual beraneka juadah bukan sahaja untuk orang Islam malah turut mendapat tumpuan orang bukan Islam.

Islam sememangnya tidak pernah menghalang umat berniaga di bulan-bulan ibadah. Malah Allah jelas mengisyaratkan bahawa aktiviti berjual beli boleh diteruskan walaupun semasa musim haji sebagaimana firman-Nya: Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kamu mencari limpah kurnia Tuhanmu (dengan meneruskan perniagaan ketika menunaikan haji) (al-Baqarah:198).

Begitulah hebatnya Islam sebagai ad-deen atau cara hidup yang tidak pernah membataskan umatnya kepada hal-hal ritual peribadatan semata-mata, malah turut mengutamakan perihal keduniaan termasuklah aktiviti perniagaan mencari keuntungan.

Apa yang lebih mustahak, umat harus sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang digariskan syarak dalam apa jua aktiviti kehidupan khususnya dalam urusan bermuamalah sesama insan.

Salah satu prinsip terpenting yang mendasari aktiviti bermuamalah dalam Islam ialah sikap ihsan atau berbuat kebajikan dalam perniagaan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Daurul Qiyam wal Akhlak fi Iqtisadi al-Islami, ihsan dalam budaya perniagaan membawa pengertian sikap peniaga yang tidak terlalu haloba dalam mencari keuntungan berlebihan dengan meletakkan harga yang tinggi dan tidak wajar hingga membebankan pembeli.

Ini jelas dinukilkan dalam sebuah hadis sebagaimana disebut oleh Ma'qal ibn Yassar: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda lebih dua kali, Allah s.w.t telah bersumpah untuk mencampakkan manusia ke dalam api neraka pada hari kiamat kelak bagi sesiapa yang berniaga dengan menaikkan harga secara melampau hingga membebankan orang Islam. (Riwayat Ahmad, At-Tabrani dan Al-Hakim)

Keuntungan

Keghairahan untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin, sering kali mendorong pelbagai tingkah dan olah peniaga yang tidak beretika. Ini termasuklah menaikkan harga barangan keperluan secara keterlaluan dan melakukan pelbagai helah untuk memastikan keuntungan berlipat ganda.

Sebab itulah usaha penjernihan harus dilakukan terhadap budaya berniaga masa kini. Budaya berniaga harus disemangati oleh nilai-nilai kasih sayang kemanusiaan berteraskan ihsan agar iklim dunia perniagaan yang diwarnai nilai-nilai materialistik dan individualistik mampu dijernihkan kembali. Apatah lagi dalam suasana masyarakat sedang berpolemik mengenai harga pelbagai jenis barangan keperluan harian kini yang kian melambung tinggi.

Ihsan atau berbuat kebajikan dalam perniagaan sememangnya menjadi tuntutan dalam Islam. Malah, menurut Imam Al-Ghazali, ihsan merupakan satu prinsip yang menempati status yang lebih tinggi berbanding prinsip-prinsip lain seperti adil dan jujur yang turut menjadi sebahagian kewajipan bagi setiap peniaga.

Rezeki yang diperoleh dengan cara ihsan tanpa merugikan orang lain akan membawa barakah atau keberkatan. Keberkatan perniagaan mampu menatijahkan kepuasan, kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang hakiki kepada peniaga walaupun hasil keuntungan tampak sedikit.

Dalam konteks ini ada baiknya kita menelusuri keperibadian salah seorang sahabat Nabi yang terkaya di zaman baginda. Beliau yang dimaksudkan ialah Abdul Rahman Ibn Auf yang juga salah seorang daripada sepuluh sahabat Nabi yang dijamin syurga Allah.

Pada satu hari pernah seseorang bertanya kepada Abdul Rahman Ibn 'Auf: “Apakah sebabnya maka tuan menjadi kaya?” Jawab beliau: “Kerana tiga perkara: Pertama, aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit. Kedua, aku tidak pernah melambatkan penjualan barangan keperluan daripada orang yang memintanya daripadaku. Dan ketiga, aku tidak menjual secara tangguhan pembayaran.”

Dalam satu riwayat dikatakan bahawa Abdul Rahman ibn 'Auf menjual seribu ekor unta dalam satu hari. Dari perniagaannya itu, beliau hanya mengambil keuntungan dari tali pengikatnya sahaja. Lalu dijualnya setiap tali itu dengan harga satu dirham, maka beliau pun memperoleh keuntungan satu dirham bagi seekor unta atau seribu dirham untuk seluruh hasil jualan untanya dalam tempoh sehari.

Begitulah nilai seorang peniaga yang harus dicontohi. Sikap ihsan dalam berniaga yang dimanifestasikan melalui nilai kesederhanaan dalam penentuan harga barangan jualan sememangnya masih mampu mendatangkan keuntungan kepada peniaga. Malah keuntungan perniagaan yang berasaskan nilai ihsan adalah lebih berkat dan mampu menjelmakan kesenangan dan kebahagian yang sejati.

Sebab itulah apabila tersiarnya berita dua gadis yang menjual kuih di bazar Ramadan Baling dengan harga 10 sen satu dan masih memperoleh untung, terus mengingatkan penulis terhadap kisah sahabat Nabi ini. Moga-moga lebih ramai yang menjiwai nilai-nilai ihsan dalam berniaga lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.


Ref: http://www.utusan.com.my/utusan