Saturday, February 19, 2005

Rahmat Allah terputus, bala pula diundang

Oleh DATO' DR HARON DIN

AIDULADHA dikenali umum sebagai Hari Raya Korban. Ianya merujuk kepada Kurban Agung yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim a.s terhadap anaknya Nabi Ismail a.s kerana menjunjung titah perintah Allah sehingga sanggup walaupun menyembelih anaknya sendiri.Ia adalah lambang keagungan Ilahi dan ketaatan mutlak hamba-Nya, lahirlah konsep korban kerana Allah yang terlaksana sejak zaman Nabi Ibrahim a.s hingga hari ini akan tetap dilaksanakan sehingga hari Kiamat.

Pada hari ini kita sedang berhadapan dengan situasi yang menggerunkan iaitu korban tsunami yang sudah menjangkau lebih 200 ribu nyawa yang melayang, khususnya di Banda Aceh yang memerlukan kira-kira RM 20 ribu juta untuk dibangunkan semula.Peristiwa ini mesti ada hikmahnya.

Jika kita menyusuri melalui lebuh raya ke arah utara, nescaya kita akan bertemu dengan cogan kata "Sembahyanglah anda sebelum anda di sembahyangkan."
Di hadapan sebuah pejabat swasta saya pernah melihat ada papan tanda yang menyebutkan "Bekerjalah anda sebelum anda dikerjakan."
Apabila berlakunya tragedi tsunami, saya teringat sendiri untuk bermadah dengan ungkapan "Berkorbanlah kerana Allah, sebelum Allah mengorbankan anda."

Dalam konteks AidulAdha, Allah berfirman dalam Surah al-Kautsar yang mafhumnya, "Sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) sebuah sungai di syurga. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah yang terputus (daripada rahmat Allah SWT).

Inilah surah yang membawa mesej yang panjang walaupun diungkap dengan ayat yang pendek.
Ayat pertama adalah merupakan jaminan Allah kepada Rasul-Nya, bahawa baginda akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan mendapat suatu anugerah khusus, yang tidak dikurnia yang tidak diberikan kepada mana-mana Nabi dan Rasul, iaitu 'al-Kaustar.'
'Al-Kausar' adalah istilah khusus yang memberi makna yang khusus. Dalam Tafsir al-Maraghi menyebutkan bahawa 'al-Kausar' adalah 'nikmat banyak yang melimpah ruah kepada hamba-Nya'.

Al-Qurtubi menyatakan bahawa 'al-Kausar' ialah anugerah yang melimpah ruah yang terlalu banyak. Anugerah yang Allah berikan itu dikaitkan dengan dua perkara iaitu, pertama, dirikan solat kepada Tuhanmu dan keduanya, sembelih korbanlah kamu. Dua tuntutan tersebut adalah tuntutan yang berterusan, bukan sekali sekala.

Sebagai contohnya, solat, Rasulullah s.a.w di samping tidak pernah meninggalkan solat, baginda wafat sesudah menunaikan solat subuh. Saidina Abu Bakar as-Siddiq wafat sesudah solat subuh. Saidina Umar al-Khattab ditikam ketika mengimamkan solat subuh (wafat kemudiannya), Saidina Uthman ibn Affan dibunuh sesudah solat subuh dan Saidina Ali ibn Abi Talib diserang dan bunuh ketika dalam perjalanan untuk solat subuh.

Dalam mesej korban, ibadah korban dilakukan bermula pada hari nahar sehingga tiga hari tasyrik. Konsep korban ini yang juga maknanya jihad, dituntut untuk dilakukan berterusan. Umat Islam dituntut untuk berkorban kerana Allah, kerana Islam sehingga dapat menjunjung Islam itu lebih tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Mesej yang terakhir iaitu yang dikatakan, "Sesungguhnya orang yang membenci kamu (Muhammad) ialah yang terputus rahmat Allah."
Membenci Nabi membawa makna mereka yang mencemuh sunnah Nabi, yang tidak suka kepada peraturan yang dibawa oleh Nabi, mereka ragu-ragu dengan cara hidup Islam yang dibawa oleh Nabi dan orang tidak mahu melaksanakan ketetapan yang dibawa oleh Nabi, adalah kesemuanya itu termasuk dalam makna tersebut.

Allah akan putuskan rahmat kepada mereka semua. Allah berfirman dalam Surah al-A'raf yang mafhumnya, ".......Seksa-Ku dan bala-Ku akan Aku timpakan ke atas sesiapa yang Aku kehendaki dan Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka Aku tetapkan (orang yang mendapati rahmat itu) iaitu orang-orang yang benar-benar bertaqwa, dan yang memberi zakat dan orang-orang yang benar-benar beriman dengan kebesaran Allah azzawajalla."
Jelas, Allah mengaitkan di antara azab dan rahmat digandingkan kedua-duanya sekali. Iaitu jika tidak azab, Allah akan memberikan rahmat dan jika tidak rahmat, Allah akan memberikan azab.
Manusia dan makhluk semuanya hidup bahagia dengan rahmat dan limpahan daripada Allah. Samada sedar atau tidak, rahmat kebahagian itulah yang diperlukan oleh setiap makhluk untuk kesejanteraan dan keharmonian hingga ke akhir hayat.

Apabila berlaku hal-hal membenci Nabi dan Rasul. Menolak hukum, mempermain-mainkan hukum, membenarkan maksiat bermaharajalela serta mendiamkan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat dan negara, ini semua mengundang putusnya rahmat Allah. Dalam waktu yang sama kita mengundang turunnya bala Allah SWT.
Jika berlaku demikian, iaitu perubahan daripada rahmat kepada azab, maka kebahagiaan yang insan nikmati bertukar menjadi derita, senang menjadi susah dan dari hidup kepada mati.
Sebenarnya ada insan yang menderita walaupun ianya kaya raya. Insan ada yang berdukacita walaupun hidupnya senang lenang. Ada insan merana dalam dunia yang serba canggih.
Dalam keadaan dunia yang serba canggih dan moden, sehingga ilmu manusia boleh meneroka alam di dasar lautan yang dalam, ilmu yang menjulang tinggi ke angkasa, namun musibah demi musibah tetap terus berlaku.

Kita amat sedih dan dukacita dengan deretan peristiwa yang menyayat hati, berlakunya krisis kemanusiaan seperti kemelaratan dan kesusahan sehingga tidak mempunyai makanan dan pakaian berlaku di beberapa buah negara di Asia dan Afrika.
Berlakunya peperangan saudara hingga mengorbankan banyak jiwa, peperangan pembersihan etnik di Bosnia, peperangan yang menyebabkan umat Islam menjadi mangsa kekejaman Yahudi, kekejaman kuasa kuffar di Afghanistan, Palestin, Iraq, Chechnya dan negara-negara umat Islam lain.

Bala dan musibah terus datang dan berlaku dan yang paling akhir sekali adalah tsunami.Ada rakan memberitahu saya bahawa singkatan huruf tsunami seperti berikut, t(tuhan), (s)sudah, u(uji), n(namun), a(ada), (m)manusia dan (i)ingkar. Saya terfikir kemungkinan ianya betul.
Tsunami bukan sahaja melibatkan sesebuah negara atau sesuatu bangsa sahaja. Setidak-tidaknya ia membabitkan dua benua iaitu Asia dan Afrika terbabit. Ia melibatkan banyak negara, bangsa dan agama. Ertinya bencana tsunami ini ditimpakan untuk semua insan merasa.
Bagi manusia yang tidak terbabit dengan bencana tersebut, mereka hendaklah menghulurkan apa jua bentuk bantuan yang termampu.

Berlakunya bencana ini tentulah mempunyai sebab, yang jelasnya tentulah insan meminggirkan Allah SWT, insan melupakan ancaman-ancaman Allah dan bagi orang-orang yang melakukan kejahatan, mereka tidak takut kemurkaan Allah bahkan tidak mengendahkan peringatan-peringatan Allah.
Allah menyebutkan bahawa (mafhumnya), "Hendaklah kamu takut dan berjaga-jaga jangan sampai bala Allah turun atas kemurkaan-Nya."

Hendaklah kita sedar apabila bila bala itu turun, ia tidak akan mengenai orang yang melakukan maksiat sahaja, bahkan orang yang baikpun akan turut ditimpakan.

Mari kita fokus kepada catatan deretan bencana alam yang telah berlaku, contohnya pada:
24 Disember 2003, gempa bumi pada ukuran 4.1 skala Richter berlaku berhampiran dengan New Zealand,
26 Disember, ikan paus mati di Tasmania kerana dipercayai gerak gempa yang kuat di lautan, 26 Disember, berlaku gempa bumi 9.1 skala Richter,
26 Disember berlaku gempa bumi di China,
26 Disember juga berlaku gempa bumi di Turki,
26 Disember berlaku gempa bumi di wilayah Bam, Iran dan tsunami juga berlaku pada 26 Disember.

Mengapa ianya berlaku pada tarikh-tarikh, samada sebelum atau selepas 25 Disember? Apakah ini ada isyarat sesuatu tanda yang patut direnungi? Apakah al-Quran ada memberi sedikit bayangan bahawa pada tarikh itu akan berlaku bencana sebesar yang telah terjadi?

Dalam Surah al-Maryam, ayat 88 - 93, Allah berfirman yang mafhumnya, "Dan mereka itu berkata, Allah mempunyai anak. Sesungguhnya mereka melakukan angkara yang sebesar-besar angkara, semua langit hampir runtuh pecah berkecai kerana kata-kata itu, bumi hampir terbelah, bukit bukau hampir runtuh berkecai kerana ada yang mendakwa bahawa Allah yang bersifat ar-Rahman itu mempunyai anak. Dan tidak sekali-kali sayugia bagi Allah yang mempunyai sifat ar-Rahman untuk mengambil anak kerana tiap-tiap sesuatu dalam hidup ini, di langit dan di bumi, kesemua sekali akan datang kepada Allah SWT (termasuk Isa al-Masih) sebagai hamba kepada Allah SWT."

Persoalannya sekarang ini, bolehkan insan yang sekerdil ini menghindari daripada bencana Allah SWT? Dari sudut sains dan teknologi, memanglah memasang alat yang boleh mengesan bencana adalah merupakan jawapan kepada persoalan tersebut. Oleh kerana itu Kerajaan Malaysia dengan segera memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan projek mengesan tsunami. Kemungkinan kewujudan alat untuk mengesan tsunami di lautan, memang jawapan kepada persoalan tadi.

Namun bagaimana kalau bencana yang datang itu bukan tsunami, ia berlaku di daratan pula seperti ribut kencang, puting beliung, ribut petir, tanah jerlus, kebakaran besar-besaran dan penyakit-penyakit bawaan kronik, apa yang hendak kita lakukan?

Marilah kita merujuk kepada firman Allah yang mafhumnya, "Apakah penduduk-penduduk sebuah negeri merasa begitu aman, tidak risau dengan datangnya tindakan Allah dengan bala-Nya, waktu malam hari sedang mereka tidur nyenyak. Apakah penduduk sebuah negeri itu merasa aman dengan tindakan Allah bahawa turun bala-Nya pada waktu siang hari sedang mereka bermain dan bersuka ria? Apakah mereka merasa aman dari tindakan Allah SWT? Sesungguhnya tidak akan yang akan berasa aman dengan tindakan Allah melainkan kaum-kaum yang rugi."

Dalam Surah al-A'raf ayat 100, Allah berfirman, mafhumnya, "Apakah tidak mereka mendapat petunjuk, bagi orang yang mendiami bumi ini dari orang sebelum mereka, bahawa kalau Kami kehendaki, Kami kenakan ke atas mereka bala, kerana dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Kami."

Dalam Surah al-Hajj ayat 45, Allah berfirman, mafhumnya, "Maka sudah berapa banyak negeri Kami telah binasakannya kerana penduduknya melakukan kezaliman. Maka runtuh binasalah kota-kotanya....".

Nota - Rencana ini adalah sedutan daripada Khutbah Aidiladha yang disampaikan oleh Dato' Dr Haron Din di Surau an-Nur, Bandar Baru Bangi pada 21 Januari 2004